Allahu Akbar

si comel sekalian

Saturday, November 17, 2012

SeDarKah Kita Itu Apa SEbEnaRnya?

Assalamualaikum para sahabat yang dikasihi...

Belum terlambat rasanya untuk diri ini mengucap salam maal hijrah 1434 H meskipun sudah 3 hari tahun baru bermula..
Sudah terlalu lama rasanya jari ini tidak menari mempersembahkan tarian kata-kata. Manakan tidak, cahaya minda tidak mahu menerangi pentas idea supaya penonton berasa terhibur dengan tarian yang dipersembahkan. Hiba rasanya.. Tapi, hari ini jari ini berjanji, tarian yang bakal dipersembahkan mungkin akan menarik hati ke mari.


Terdetik di hati untuk mula melangkah ke aksara kata, bila diri ini inginkan cahaya. Mengharap masih ada ruang waktu untuk bersemuka dengan-Nya. Diri ini tidak mahu berada dalam kesesatan lagi. Cukuplah apa yang sudah terjadi sebelum ini. Dan diri ini sungguh berharap agar sinar itu pasti datang kembali. Menunggu.

Setiap hari, setiap detik akan pergi. Setiap hari, setiap waktu akan berlari. Namun, adakah kita sedar akan hal itu? Jiwa ini masih muda, jiwa ini masih remaja, jiwa ini masih belia. Tak mungkin jiwa ini akan pergi dan berlari mengikut waktu yang tak malu meninggalkan hari. Itu kata hati. Tanpa iman. Kemurungan. Apa yang dilakukan, sama sekali tak terkesan.

Bodoh jiwa ditiup sengsara. Tidak terasa. Walaupun terkadang merasa sepi, hiba, tak tenang, kelam, hitam namun, diri tetap EGO. Merasakan diri ini tersangat hebat. Hebat dari Sang Pencipta.

Segala yang diberikan, cuma pinjaman semata. Sedarkah kita akan hal itu? Mengapa selalu berasa sombong bagai kitalah yang terhebat di muka bumi ini? Mengapa? Angkara hati hitam,kelam mula menguasai diri. Semua yang kita peroleh sama sekali sebenarnya kita tak akan dapat. Tanpa keredhaan dan izin dari-Nya. Masih terasa sombong. Sombong dengan kekayaan, sombong dengan kekuasaan. sombong dengan pelbagai pemberitahuan kepadanya.

Setiap nafas yang kita hembus,yang kita sedut..adalah semata pinjaman. Tanpa keizinan, tanpa keredhaan, apa artinya semua ini? Kosong...tak bererti! Bersyukurlah kepada Tuhan yang Maha Esa. Tiada tolok bandingannya. Allahu Rabbi. Subhanallah!

Sedarkah kita, setiap kali kita berjalan, setiap kali itu waktu merintih, menangis? Kerana kita tak pernah sekalipun memberi ruang kepada diri, untuk membuka minda,berfikir. Sudah cukupkah apa yang kita lakukan sebelum ini? Sudah cukupkah amalan yang telah kita tabungkan? Sudah bersediakah kita untuk melangkah ke hadapan? Bertemu dengan Tuhan. Maha Penyanyang, Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Melihat?

Jika diberi ujian sebesar kuman sekalipun, diri kita sentiasa menyalahkan-Nya.Memarahi-Nya kerana bagai sengaja memberi cobaan dan dugaan yang kita tak mampu untuk menerimanya. namun, pernahkah kita terfikir bahawa semua itu berlaku, kerana Tuhan tahu kita itu mampu. Dan tatkala itu barulah kita tahu hendak berterima kasih, mengucapkan syukur tanpa merenung kembali kenapa hal itu terjadi.

Kita manusia yang sombong, bongkak. Gemar melakukan segala-galanya bagai tiada tarikh mati yang telah ditetapkan kepada kita. Larangan-Nya kita sengaja lakukan, suruhan-Nya sengaja kita tinggalkan. Merasa diri ini sudah cukup hebat untuk melawan kekuasaan-Nya. Sedarkah kita akan apa hal yang kita lakukan ini?

Astagfirullahal'adzim...

Kembalilah berfikir,muhasabah. Kita masih diberikan kesempatan di saat-saat terakhir yang memilu dan memalukan. Jangan tinggalkan waktu itu. Jangan biarkan waktu itu menitiskan air matanya lagi. Saat nafas sudah berada di penghujungan, bersyukurlah. Jangan jadikan saat itu menjadi titik permulaan untuk kita berubah. Kerana kita sudah terlambat dan waktu akan mentertawakan kita. Namun jadikanlah waktu itu sebagai tanda syukur kita kerana bakal bertemu dengan Cinta Sejati. Yang sudah lama menunggu kita hadir di sisi-Nya. Titisan air mata kesyukuran yang patut kita hadiahkan, bukannya air mata ketakutan untuk menggu hari pembalasan.

Kita masih punya waktu.
untuk...kembali. ke jalan yang benar, dan diredhai.
Bersyukurlah....
Kembalilah.... kepada Allah yang Maha Esa.
Allahu Akbar!


Salinan daripada seorang saudara, mungkin boleh dijadikan panduan bersama... silakan.





Aku teringat satu kisah mengenai seorang hamba Allah yang masuk syurga kerana bulu matanya...


Diceritakan di Hari Pembalasan kelak, akan ada seorang hamba Allah yang sedang diadili. Ia dituduh bersalah, mensia-siakan umurnya di dunia untuk berbuat maksiat. Tetapi ia berkeras membantah.

"Tidak! Demi langit dan bumi, sungguh tidak benar. Saya tidak melakukan semua itu!"

""Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa!" jawab malaikat.

Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu ke segenap penjuru. Tetapi anehnya, ia tidak menjumpai seorang saksi pun yang berdiri. Di situ hanya ada sia sendirian. Maka ia pun menyanggah,
"Manakah saksi-saksi yang kau maksudkan? Di sini tidak ada sesiapa kecuali aku dan suaramu."

"Inilah saksi-saksi itu," Ujar malaikat.

"Aku yang melihat." Kata mata hamba Allah itu,
"Aku yang mendengar." Kata telinga.
"Aku yang menghidu." Kata hidung yang juga tidak ketinggalan.
"Aku yang merayu." Kata si bibir mengaku.
"Aku yang menghisap. " Lidah menambah.
"Aku yang meraba dan meramas." Tangan meneruskan.
"Aku yang dipakai untuk lari ketika diketahui orang akan maksiat tersebut." Kaki pula menyusul untuk berkata.

"Nah! Kalau aku biarkan, seluruh anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu itu." ucap malaikat.

Hamba Allah tersebut tidak dapat membantah lagi. Ia putus asa dan amat berduka, kerana sebentar lagi ia bakal dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam. Padahal, dia merasa bahawa dia telah terbebas dari tuduhan dosa itu. Tatkala ia sedang dilanda kesedihan itu, tiba-tiba terdengar suara yang amat lembut dari selembar bulu matanya:
"Aku juga ingin mengangkat sumpah sebagai saksi."

"Silakan" kata malaikat.

"Terus terang saja, menjelang ajalanya, pada suatu tengah malam yang lengang, aku pernah dibasahi dengan air mata ketika ia sedang menangis menyesali perbuatan buruknya.Bukankah nabinya pernah berjanji, bahawa apabila ada seorang hamba Allah yang bertaubat, walaupun selembar bulu mata sahaja yang terbasahi dek air matanya, ia sudah diharamkan dirinya daripada api neraka? Maka aku, selembar bulu matanya, berani tampil sebagai saksi bahawa ia telah melakukan taubat sehingga membasahiku dengan air mata penyesalan."

Maka dengan kesaksian selembar bulu mata itu, hamba Allah tersebut lalu dibebaskan dari api neraka dan dihantarkan ke syurga indah yang kekal abadi. Sehingga terdengar suara bergaung daripada para penghuni syurga:
"Lihatlah, hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan sehelai bulu mata"

Subhanallah.. Maha Suci Allah....


Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:
Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya pada malam hari supaya orang yang melakukan kejahatan pada siang hari bertaubat dan Dia membuka tangan-Nya pada siang hari supaya yang melakukan kejahatan pada malam hari bertaubat hingga matahari terbit dari barat.
(Riwayat Muslim)


Sabda Rasulullah S.A.W. lagi yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya di sebuah padang yang tandus kemudian dia mendapatkannya kembali unta itu. 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Nah, apa yang kita tunggu lagi?


- Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, Wallahu Akbar... - =)

No comments:

Post a Comment